Wednesday, March 26, 2008

39 berdepan maut selepas ambil ubat rangsang seks

SINGAPURA: Seramai 29 lagi lelaki republik Singapura mengalami masalah kesihatan kandungan gula rendah dalam darah termasuk seorang diserang angin ahmar selepas mengambil ubat bagi meningkatkan daya seksual yang diharamkan, Power 1 Walnut.

Akhbar Berita Minggu Singapura melaporkan semalam, ini menjadikan sekurang-kurangnya 39 lelaki berdepan masalah sama selepas memakan ubat berkenaan.

Sebelum ini, 10 orang sudah disahkan mengalami masalah kesihatan itu selepas memakan ubat yang didapati mengandungi bahan kimia sildenafil yang digunakan dalam Viagra serta kadar tinggi glibenclamide - sejenis ubat merawat kencing manis.

Tindakan menggabungkan pengambilan kedua-dua bahan kimia itu boleh menyebabkan maut.

Kumpulan lelaki terjejas terdiri daripada pelbagai bangsa, termasuk Melayu, dan berusia antara 30 dengan 70-an tahun.

Seorang lelaki yang diserang angin ahmar akibat ubat itu, terlantar di hospital sejak lebih seminggu lalu.

Bilangan mangsa yang membimbangkan itu memaksa Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) menjalankan tiga serbuan pada 13 Februari - 18 Februari lalu di sekitar kawasan Desker Road, Rowell Road dan Petain Road.

Sejumlah 75,000 produk haram ubat seksual bernilai S$200,000 (RM457,750) dirampas.

Ini termasuk Power 1 Walnut, yang dijual sekitar S$2 (RM4.57 sen) sebiji pil yang didakwa diperbuat daripada pati kacang walnut dan herba.

Bungkusannya mendakwa ia dikeluarkan di China.

“Maklumat penting seperti alamat sebenar pengeluar ubat itu tidak dapat ditetapkan kerana dijual secara haram. Bagaimanapun, negara Asean lain serta China dan wilayah Hong Kong sudah dihubungi agar berwaspada dengan kehadiran ubat berkenaan di pasaran,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HSA, John Lim.

Beliau turut menasihati orang ramai agar menjalani pemeriksaan doktor jika menghadapi kesulitan kesihatan selepas membeli ubat dari tempat mencurigakan atau melalui internet.

Timbalan Pengurus Kanan Pusat Pentadbiran Dadah, Yee Shen Kuan, berkata pelanggan barangan itu bukan saja mendatangkan keburukan terhadap diri sendiri bahkan menggalakkan lagi pasaran bagi penjual haram. - Agensi

No comments: